Monday 12 May 2014

Isu Panas Laut China Selatan



NAY PYI TAW 11 Mei - Malaysia berharap negara-negara yang terlibat dalam konfrontasi terbaharu di Laut China Selatan, khususnya China, Vietnam dan Filipina, akan mengambil sikap mengurangkan ketegangan dan mewujudkan suasana yang kondusif.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu, isu Laut China Selatan telah dibincang dengan panjang lebar oleh semua 10 negara anggota Persatuan Negara Asia Tenggara (ASEAN) pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-24 yang berakhir hari ini.
Katanya, Malaysia telah menegaskan betapa pentingnya semua pihak mengurangkan ketegangan dalam mencari satu cara penyelesaian melalui kaedah rundingan dan mewujudkan suasana yang lebih kondusif.
``Di samping itu, Malaysia juga berharap semua semangat dan prinsip berhubung undang-undang antarabangsa menjadi asas kepada kita mencari penyelesaian kepada pertikaian di kawasan perairan itu.
``Saya juga menyebut mengenai perlunya usaha-usaha ke arah menterjemahkan Pengisytiharan Tatalaku Laut China Selatan (CoC) yang ditandatangani China dan ASEAN pada 2002 itu,'' tegas Najib dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Perdana Menteri baharu sahaja selesai menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-24, yang telah mengeluarkan satu kenyataan semalam oleh menteri-menteri luar ASEAN mengenai konfrontasi terbaharu di Laut China Selatan.
Kenyataan tersebut dilihat penting berikutan konfrontasi antara China dan Vietnam pada minggu lalu selepas Beijing membawa masuk pelantar minyak ke kawasan pertikaian berdekatan Pulau Paracels, yang turut dituntut oleh Vietnam, sehingga mencetus insiden bot Vietnam dilanggar oleh kapal China.

Konfrontasi itu memuncak apabila polis maritim Filipina menahan nelayan-nelayan China yang dikatakan menceroboh perairan negara itu, sekali gus megundang bantahan keras dari China. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment