Thursday 15 May 2014

Kesihatan Melalui Solat

 Kebaikan Solat untuk Kesihatan
Solat adalah tiang agama. Semua orang tahu mengenainya walaupun bukan semua melakukannya dengan sempurna. Solat menjadi penghubung antara manusia dengan maha pencipta. Namun, selain daripada itu, solat juga mampu menjadi terapi kesihatan yang baik untuk tubuh badan. Gerakan-gerakan dalam solat dapat menghasilkan satu terapi terhadap pencegahan penyakit apabila diamalkan. Ianya sebenarnya merupakan salah satu bentuk senaman yang boleh dilakukan selain kita mendapat pahala dan memenuhi tuntutan agama. Solat telah terbukti baik dari sudut sains seperti yang diceritakan dalam buku Professor Dr Wan Abu Bakar Wan Abas; “Solat kebaikan dari perspektif sains”.
Disini saya nyatakan beberapa kebaikan yang ada:
1)      Terapi solat mendapati keadaan sujud mencatatkan kadar denyutan jantung paling rendah dan baik untuk golongan pesakit jantung.
Jika dilihat keadaan sujud adalah dimana kita tunduk meletakkan muka kita di bawah. Maka kita mengakui kita adalah hamba. Di waktu sujud, selalunya kita paling khusyuk kerana kita tidak melihat perkara lain melainkan fokus kita terhadap penghambaan kita kepada Ilahi. Kadar denyutan yang rendah sangat bagus kerana jantung akan menerima kurang tekanan. Ini memastikan jantung menjadi lebih sihat, bukan sahaja kepada ynag berpenyakit jantung malah mampu mengelakkan jantung yang sihat daripada mendapat penyakit.
2)      Solat sunat sebanyak 3 kali seminggu dengan setiap terapi sebanyak 12 rakaat atau kira-kira 30 minit dapat merawat Erektil Disfungsi (ED) atau mati pucuk.
Tetapi janganlah nanti kita solat hanya sebab nk merawat mati pucuk. Tetapkan niat kita untuk mendekatkan diri dengan yang Maha Esa, maka pasti kita akan mencapai apa yang kita kehendaki asalnya kita ikhlas dengan amalan kita.
3)      Pesakit yang mengikuti terapi solat selama sebulan, iaitu dengan membuat rukuk 90ยบ, sakitnya pinggang berkurang.
Lihatlah kebesaran Allah, bukan sengaja kita ditetapkan membuat rukuk dengan betul yakni 90 darjah selari tulang belakang kita. Oleh itu, haruslah kita perhatikan gerakan solat kita. Pastikan ianya betul. InsyaAllah kita tidak rugi malah mendapat manfaat. Ajarkanlah anak-anak. Biasanya mereka malas melakukan rukuk dengan betul. Jangan ia menjadi kebiasaan sehingga dewasa. Ramai yang saya lihat melakukan rukuk 70 darjah sahaja atau ada juga yang lebih 90 darjah. Daripada rukuk itu baik untuk merawat sakit pinggang, apabila tidak dilakukan dengan betul, sakit yang kita dapat nanti.
4)      Gelombang otak mempunyai beberapa frekuensi irama yang dipengaruhi oleh keadaan fizikal dan emosi. Jenis gelombang otak Alfa (8-13 Hz) menunjukkan keadaan tenang iaitu semasa sujud.
Seperti yang telah diceritakan tadi, sujud menghasilkan keadaan yang paling tenang dalam diri seseorang yang sedang solat.
5)      Tabiat mengamalkan kedudukan tulang belakang lurus ketika rukuk melambatkan proses penuaan, tisu bertambah aktif, proses imbangan air dalam badan lebih baik dan melancarkan fungsi buah pinggang.


Subhanallah! Lihatlah rahsia disebalik setiap ciptaan dan perintah Allah.

Wednesday 14 May 2014

Selamat Hari Guru

Tema Hari Guru 2014 :
2014   Guru : Pencetus Kreativiti, Penjana Inovasi


Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;
Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG
1979

Selamat Hari Guru untuk semua Guru-guru di Malaysia

Iktibar 13 Mei 1969

Dia yang menguasai masa silam menakluk masa depan.
Dia yang menakluk masa depan menguasai masa silam."
  George Orwell, 1984


BAGAIMANAKAH seharusnya kita mengenang 13 Mei 1969  ̶  suatu hari ketika mana sebilangan warga negara ini hilang waras dan harga diri sehingga sanggup berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Hari itu disifatkan oleh banyak orang sebagai "titik hitam" atau "hari paling gelap" dalam sejarah negara. Sebuah buku yang merakamkan episod itu malah terbit dengan judul "13 May 1969: The darkest day in Malaysian history".

Apakah sebenarnya yang kita tahu tentang hari itu?

Peristiwa itu terjadi 45 tahun lalu. Rakyat negara ini pula sekarang hampir 50 peratus umurnya di bawah 40 tahun. Maknanya, apa yang sebahagian besar daripada kita tahu tentang peristiwa itu adalah apa yang kita kutip daripada catatan sejarah yang ditulis di sana sini.

Tetapi apakah itu sejarah?

Sejarah secara ringkasnya ditafsirkan sebagai pengetahuan tentang masa lampau yang dihimpunkan oleh sejarawan. Setiap seorang sejarawan masing-masing menyumbangkan apa yang mereka ketahui untuk membentuk pengetahuan itu  ̶  yang kita panggil "sejarah". Pengetahuan itu adalah sumbangan sejarawan secara kolektif kerana seorang sejarawan tidak mungkin betul semua dan selebihnya, kerana sejarawan itu jarang berlaku jujur kepada dirinya sendiri  ̶  sejarah yang dicatat selalu dibentuk antaranya oleh teori dan pegangan politik sejarawan itu sendiri.

Kenapakah sejarah itu penting? Apakah gunanya sejarah itu kepada kita?

Sejarah itu penting peta dan kompas yang jadi panduan untuk kita meneroka masa depan, yang menunjukkan dari mana kita datang dan ke mana kita menuju. Sebagai sebuah bangsa, sejarah adalah ingatan kolektif tentang sebuah masa lalu yang akan membantu kita membuat keputusan tentang masa depan bangsa dan negara ini secara bersama. Sekiranya ingatan kolektif kita tidak sama  ̶  atau pemahaman kita tentang sejarah itu berbeza  ̶  hala tuju kita ke arah masa depan itu juga tidak akan sama.

Apakah ingatan kolektif kita tentang 13 Mei 1969?

Ada beberapa peristiwa penting yang berlaku selepas tragedi berdarah itu. Sekolah aliran bahasa Inggeris ditutup. Kedudukan Bahasa Melayu diperkukuhkan dalam sistem pendidikan termasuk jadi bahasa pengantar di universiti. Gerakan menubuhkan institusi pengajian tinggi berbahasa Melayu yang disuarakan oleh nasionalis dan intelek Melayu kembali marak selepas peristiwa itu dan lahirlah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) lebih kurang setahun kemudian.

Setahun kemudian juga, Rukunegara diperkenalkan sebagai dokumen falsafah negara. Setahun kemudian juga, kerajaan Perikatan memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan untuk membasmi kemiskinan dan menyusun semula masyarakat. Dasar itu kemudiannya muncul dalam beberapa dasar yang menggantikannya selepas ia tamat pada 1990.

Secara ringkasnya, apa yang ada di negara ini pada hari ini sedikit sebanyak ditentukan oleh apa yang berlaku pada 13 Mei 1969 itu.

Tetapi apakah yang kita tahu tentang hari itu?

Sejarah itu bukan apa yang berlaku. Sejarah adalah cerita tentang apa yang berlaku. Ada perbezaan antara "sejarah" dan "masa lalu"  ̶  yang satu itu pengetahuan tentang apa yang berlaku, yang satu lagi pula apa yang benar-benar berlaku.

Baik "sejarah" atau "masa lalu", kita sebenarnya sama-sama tidak tahu. Kita tidak usah menipu diri sendiri. Hakikatnya, hanya sedikit yang kita tahu dan lebih banyak sebenarnya yang kita tidak tahu tentang apa yang terjadi pada 13 Mei 1969 itu.

Selebihnya, tidak banyak juga orang yang tahu apa yang berlaku kerana mereka terlalu jauh dengan zaman itu dan sejarah tentangnya pula tidak diajar dengan menyeluruh sebaliknya hanya disentuh sepintas lalu. Sebahagian besar daripada kita barangkali tidak ubah seperti burung kakak tua yang mengulang-ulang apa yang didengarnya tanpa dia sendiri memahami apa yang dia katakan. Begitulah kita dan peristiwa 13 Mei 1969. Lebih daripada itu, peristiwa berdarah itu dijadikan momok untuk mengugut, menggertak dan menakut-nakutkan sebahagian daripada kita.

Tetapi apakah yang kita tahu tentang hari berdarah itu? Apakah yang kita tahu itu cerita sebenar tentang hari itu? Bagaimanakah pula kita melihat peristiwa itu  ̶  apakah dengan memahami konteks zamannya atau melihatnya dengan pemahaman kita tentang zaman ini?

Sekiranya kita faham bahawa sejarah itu bukan apa yang berlaku tetapi cerita tentang apa yang berlaku, kita akan faham juga bahawa  ̶  seperti dalam cerita  ̶  sejarah itu ada versi yang berbeza. Peristiwanya sama tetapi ceritanya mungkin tidak serupa.

Makanya, cerita 13 Mei 1969 yang mana satukah yang mahu kita percaya? Setelah itu, bagaimanakah seharusnya kita mengenang hari penting yang sedikit sebanyak membentuk negara ini sekarang?

rujukan dari : Astroawani

Huawei Honor 3c



Kelebihan Huawei Honor 3C
  • Layar yang di miliki oleh Huawei Honor 3C, memiliki ukuran layar 5 inci dengan resolusi 720 x 1280 piksel. Ketumpatan layar yang di gunakan smartphone ini adalah 294 ppi desinty dan di sokong  dengan Multi touch screen serta kaya  warna, sebab memiliki kedalaman warna 16 juta warna.
  • Tenaga yang di miliki oleh Huawei Honor 3C ini berasal dari Processor yang cukup canggih iaitu, Processor quad Core dengan kecepatan pengoperasian 1.3 GHz Cortex – A7 dengan menyematkan chipset MT6582 yang di buat oleh Mediatek. Dengan processor tersebut akan membuat Huawei Honor 3C ini semakin baik dalam segi performance dan kecepatan.
  • Untuk sistem operasi android yang di gunakan dalam smartphone ini, menggunakan sistem operasi android 4.2.2 Jelly Bean.
  • Teknologi Dual SIM telah di sematkan dalam smartphone ini, mendukung jaringan 2G dan jaringan 3g HSDPA. Yang dapat mempermudahkan  anda untuk menyambung dengan internet serta melakukan pengiriman pesa da panggilan telepon.
  • Memory yang di gunakan oleh Huawei Honor 3C ini menggunakan memory internal berkapasitas 4 GB yang bisa di tambah dengan memory eksternal samapi kapasitas 32 GB. Bertambahnya memory tersebut akan sangat membantu Huawei Honor 3C ini dalam memyinpan file dan aplikasi yang anda miliki. Ram yang di gunakan memiliki kapasiti 1 GB dan untuk pilihan kedua di sediakan dengan RAM 2 GB.
  • Di dukung dengan jaringan 3G HSDPA untuk dapat menyambungkan smartphone ini ke internet dengan proses yang cepat. Memang sebagian daerah terpencil tidak di jangkau jaringan 3G, jaringan alternative jika tak di jangkau jaringan 3G dapat menggunakan jaringan EDGE dan GPRS.
  • Di sediakan juga dengan WiFi yang memiliki fitur WiFi Hotspot dan DLNA. Dengan begitu anda akan dapat memanfaatkan sambungan WiFi yang ada di sekitar anda.
  • Menggunakan Bluetooh 54.0 dan micro USB 2.0.
  • Untuk jolokan earphone telah di sediakan dengan slot Audio Jack 3.5 mm dan speakerphone juga di sediakan.
  • Kamera utama Huawei Honor 3C memiliki lensa 8MP auto focus dan Lampu LED Flash dan memiliki resolusi kamera 3264 x 2448  piksel. Kamera utama tersbut dapat melakukan perekaman video dengan kualitas Full HD 1080p.
  • Kamera bahagian belakang memiliki lensa 5 MP yang akan dapat membantu anda untuk melakukan video call dengan kualiti video yang bagus dan jernih.
  • Grafik akan lebih nyata, kerana di bantu dengan menggunakan Grafik GPU Mali 400.
  • Di sokong  dengan GPOS, Radio FM dan Java simulator.
  • Memiliki kapasiti bateri 2300 mAh.
Kekurangan Huawei Honor 3C

  • Untuk jaringan 3G HSDPA hanya dapat di gunakan pada satu SIM saja.
  • Ukuran 5 inci tentunya akan membuat ruang penyimpanan semakin banyak di gunakan. Poket baju anda pun tak cukup untuk menyimpan smartphone Huawei Honor 3C ini.
Harga Huawei Honor 3C
  • Di dalam laman web lelong.com.my harga Huawei Honor 3c dalam lingkungan RM 499.00 ...( berbaloi harganya )

Tuesday 13 May 2014

Saman PDRM & JPJ


Semak saman Polis Trafik (PDRM) Melalui SMS
PDRM menyediakan saluran mudah untuk semak saman trafik melalui khidmat pesanan ringkas (SMS). Ada 3 cara semak saman melalui SMS :
Cara #1 :
1.     Taip: POLIS<jarak>SAMAN<jarak>Nombor pendaftaran/Plat kenderaan. Hantarkannya   hantar ke 32728
2.     Contoh: POLIS SAMAN WEV1025 hantar ke 32728
Cara #2 :
1.     Taip POLIS SAMAN<jarak>No Plat kenderaan dan hantar ke 15888
2.     Contoh: POLIS SAMAN WEV1025 dan hantar ke15888
Cara #3:
1.     Taip POLIS SAMAN [NO KAD PENGENALAN] hantar kepada 32728
2.     Contoh : POLIS SAMAN 123456781234 hantar kepada 32728

Semak Saman JPJ Melalui Online 
·         Sila klik link ini : Laman Web JPJ


Fakta Gangguan Seksual


  1. Gangguan lisan iaitu teguran,komen,berjenaka,mengusik,membuat bunyi dan menyoal perkara yang tidak menyenangkan.
  2. Gangguan isyarat iaitu menjelir lidah atau membuat bunyi dengan nada tidak sesuai,menjilat bibir atau memegang dan memakan makanan secara provokatif,isyarat tangan atau bahasa yang berbentuk lucah serta menggoda.
  3. Gangguan visual iaitu menunjukkan bahan pornografi,melukis lakaran atau menulis sesuatu berasaskan seksual,mempamerkan sesuatu yang berbentuk seksual.
  4. Gangguan psikologikal iaitu undangan sosial yang tidak diingini,kekerapan mengadakan temu janji atau intimasi fizikal.
  5. Gangguan fizikal seperti sentuhan,tepukan,cubitan,urutan,geselan terhadap tubuh badan yang tidak bersesuaian,pelukan,ciuman dan meraba.

INFO : TINDAKAN PELAKU GANGGUAN SEKSUAL PENJAWAT AWAM
  • Amaran
  • Denda
  • Lucut Hak emolumen
  • Tangguh pergerakan gaji
  • Turun gaji
  • Turung pangkat
  • Buang kerja

Monday 12 May 2014

Solat Dalam Kapal Terbang


Dibolehkan solat dalam kenderaan samada kereta, teksi, bas ekspres, perahu, kapal selam, kapal terbang dan apa jua medium pengangkutan. Dalil yang membolehkan ialah hadith berikut daripada Abdullah ibnu Umar radiallahu-anhu di mana telah bertanya seorang sahabat kepada Nabi sallallahu-alaihi-wasallam:Bagaimanakah cara saya bersolat dalam perahu ? Nabi sallallahu-alaihi-wasallam menjawab: Bersolatlah di dalamnya dengan berdiri  kecuali jika engkau takut tenggelam. Hadith di atas adalah sebagai dalil bolehnya bersolat di atas kenderaan tidak kira apa jenis kenderaan itu kerana pelajaran hadith (illat)bukanlah berkenaan hukum perahu tetapi ialah kebolehan perlaksanaan solat di atas kenderaan.
Jikalau solat secara berdiri di atas kenderaan adalah berbahaya atau menyukarkan maka boleh bersolat secara duduk, diteladani dari perbuatan Nabi sallallahu-alaihi-wasallam dan para sahabat yang pernah bersolat secara duduk di atas kenderaan tunggangan mereka. Kesukaran yang dihadapi itu tidaklah sampai ke tahap darurat tetapi adalah memadai dengan sesuatu yang memberatkan. Hadith berikut menerangkan Nabi sallallahu-alaihi-wasallam dan sahabatnya pernah solat di atas tunggangan mereka bagi mengelak dari terperangkap dalam cuaca hujan lebat - Ya'la bin Murrah radiallahu-anhu menerangkan bahawa para sahabat pernah beserta Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam dalam satu perjalanan lalu sampai ke satu lembah sedang beliau berada di atas kenderaannya; dan langit pula sangat mendung dan di bawahnya sangat basah.
Kemudian datang waktu solat lalu beliau memanggil tukang muadzzinnya lalu ia azan dan iqamah lantas Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam terus maju dengan kenderaannya dan solat berjamaah bersama mereka (para sahabat). Beliau memberi isyarat yang sujudnya lebih rendh dari rukuknya.
Dua hadith di atas jelas membolehkan solat-solat fardhu dilaksanakan di atas kenderaan dan jikalau seseorang itu menghadapi suasana kesukaran maka boleh dilaksanakan secara duduk. Demikianlah teladan yang diriwayatkan dari para sahabat seperti Anas bin Malik, Jabir, Tawus, Zaid dan lain-lain, radiallahu-anhum.[13] Solat sebegini adalah tetap sah jikalau kesukarannya itu adalah benar-benar ikhlas dan ia tidak perlu diulangi. Akan tetapi jikalau tidak menghadapi kesukaran dan dia bersolat secara duduk di atas kenderaan maka solatnya itu adalah tidak sah kerana dianggap sengaja mengabai serta meremehkan rukun kewajipan solat. Demikian menurut ijma' para fuqaha Mazhab Shafie, Maliki, Hanbali dan lain-lain.
Imam an-Nawawi mensyarahkan: Menurut pendapat mazhab kami (Mazhab Shafie), apabila seseorang bersolat fardhu di dalam kapal maka tidak boleh baginya mengerjakan solat dengan duduk selama sanggup berdiri. Diserupakan orang itu dengan keadaan di darat. Demikianlah juga pendapat Imam Malik dan Imam Ahmad bin Hanbal. Menurut pendapat Imam Abu Hanifah, boleh dikerjakan dengan duduk kalau kapal itu sedang bergerak.
Menurut pendapat ulama'-ulama' Mazhab Shafie jika orang yang sedang solat itu sedang kepeningan (mabuk laut) umpamanya maka bolehlah dia mengerjakan solat fardhunya sambil duduk kerana dia di pandang sebagai tidak upaya berdiri. Dan jika angin bertiup dan beralih haluan kapal lalu beralih juga mukanya dari arah qiblat wajiblah dia memutarkan badannya ke arah qiblat itu dan terus mengerjakan solat.
Kaedah menunaikan solat fardhu di atas pesawat terbang adalah sama dengan kaedah solat di darat. Hanya apabila timbul kesukaran maka kesempurnaan gerak laku solat itu berkurangan selari dengan kadar kesukaran yang dihadapi. Ia mempunyai kesamaan dengan kaedah solat orang yang sakit dalam beberapa keadaan dan berbeza pula dalam beberapa keadaan lain, iaitu:
1.     Hendaklah berusaha sekuat mampu bagi mencari tempat untuk bersolat dengan sempurna. Bertanyalah kepada anak kapal akan ruang sebaiknya untuk bersolat dan jikalau ruang itu digunakan oleh mereka dalam kesibukan kerja-kerja kabin maka tunggulah hingga kerja mereka berkurang atau selesai. Satu alternatif lain ialah memilih penerbangan dengan syarikat Muslim kerana anak-anak kapalnya akan lebih memahami kehendak kita dan berusaha menolong berbanding dengan syarikat penerbangan non muslim.
2.     Jikalau sedang solat dan pesawat bergoyang sedikit maka dibolehkan berpegang atau bersandar sebentar kepada dinding atau kerusi bagi mengimbangkan diri, mengingatkan kepada sunnah Nabi sallallahu-alaihi-wasallam yang solat dengan bersandarkan tiang di kala umurnya sudah lanjut.
3.  Jikalau pesawat banyak bergoyang sehingga membimbangkan maka dibolehkan solat duduk dengan rukuk secara membongkok dan sujudnya seperti biasa hingga ke lantai pesawat. Jikalau sedang bersolat secara berdiri dan dipertengahannya pesawat mula bergoyang maka teruslah solat dengan duduk sehingga habis tanpa perlu dimulakan semula.
4. Jikalau goyangan pesawat adalah keterlaluan hingga terbitnya tanda 'Pasang tali pinggang keselamatan' atau 'Fasten seat belt' maka sebaiknya ialah duduk dahulu dan bersolatlah kemudian apabila suasana kembali tenang. Memaksa diri beribadat sehingga mendatangkan kecederaan bukanlah sesuatu yang dicenderungi agama malah akan dipertangunggkan jikalau kecederaannya itu menyebabkan dia tidak dapat meneruskan ibadah yang lain, meninggalkan amanah tanggungan dan menyusahkan pula orang lain. Jikalau goyangan pesawat berlanjutan sehingga dijangka akan melewati waktu solat (contohnya solat subuh) maka laksanakanlah ia secara duduk di kerusi sendiri.
5.  Jikalau tiada tempat untuk solat maka tetaplah bersolat ditempat duduk sendiri dan solatlah dengan sujudnya ditunduk lebih rendah dari rukuk. Perintah menghadap qiblat tetap hadir sebagaimana yang diterangkan sebelum ini.
Jikalau terdapat dua pilihan, satunya ialah boleh menghadap ke arah qiblat tetapi solatnya harus secara duduk manakala yang kedua ialah boleh solat secara sempurna tetapi tidak dapat menghadap qiblat melainkan di takbir yang pertama maka hendaklah dia mengutamakan solat menghadap qiblat sekalipun secara duduk kerana solat secara duduk sememangnya dibolehkan oleh nas yang jelas di kala kesukaran manakala solat tanpa menghadap qiblat dengan sempurna adalah satu kebolehan yang diijtihadkan. Sila ulangkaji dan bandingkan huraian antara bab ini dengan bab sebelum.
Jikalau terdapat dua pilihan di mana kedua-duanya boleh didirikan solat secara sempurna, pilihan pertama ialah solat di atas pesawat manakala pilihan kedua ialah solat di atas darat maka kedua-duanya mempunyai keutamaan yang sama tarafnya. Dalilnya ialah riwayat berikut: Abdullah bin Abi Utbah radiallahu-anhu menerangkan - Aku pernah menyertai Jabir bin Abdillah, Abu Said al-Khudri dan Abu Hurairah radiallahu-anhu dalam satu kapal. Maka mereka bersolat secara berdiri berjamaah, yang seorang mengimami yang lain padahal mereka sanggup mendarat di pantai.Akan tetapi hendaklah diutamakan suasana yang memungkinkan solat itu didirikan di awal waktu mengingatkan keafdalannya dan tambahan lagi mungkin sahaja solat yang tangguhkan itu akan terhalang oleh sesuatu yang tidak dijangka.
Sekali lagi dinyatakan bahawa seseorang itu wajib berlaku benar dalam kaedah penunaian solatnya samada berdiri atau duduk, samada di ruang terbuka atau di kerusi asal. Tidak sah solat orang yang sengaja hendak solat secara duduk atau sengaja enggan mencari suasana yang memungkinkan solatnya menjadi sempurna. Jikalau semua alternatif dan usaha telah dilakukan maka hendaklah dia tetap melaksanakan solatnya itu dalam cara yang termampu dan ia tetap dikira sah tanpa perlu diulangi atau diqadha.
Kesimpulan
1.      Solat di atas pesawat terbang atau apa-apa jua medium pengangkutan adalah dibolehkan.
2.  Perlaksanaan solat di atas pesawat adalah tetap wajib seperti kaedah yang biasa kecuali jikalau menghadapi kesukaran maka dibolehkan duduk dan sebagainya selari dengan kadar kesukaran yang dihadapi.
3.     Solat sebegini adalah sah dan tidak perlu diulangi.
4.  Sementara itu tidak sah solat secara duduk jikalau tiada kesulitan untuk melaksanakannya secara berdiri. Malah dia dikira berdosa kerana sengaja meremehkan perintah agama.



Isu Panas Laut China Selatan



NAY PYI TAW 11 Mei - Malaysia berharap negara-negara yang terlibat dalam konfrontasi terbaharu di Laut China Selatan, khususnya China, Vietnam dan Filipina, akan mengambil sikap mengurangkan ketegangan dan mewujudkan suasana yang kondusif.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu, isu Laut China Selatan telah dibincang dengan panjang lebar oleh semua 10 negara anggota Persatuan Negara Asia Tenggara (ASEAN) pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-24 yang berakhir hari ini.
Katanya, Malaysia telah menegaskan betapa pentingnya semua pihak mengurangkan ketegangan dalam mencari satu cara penyelesaian melalui kaedah rundingan dan mewujudkan suasana yang lebih kondusif.
``Di samping itu, Malaysia juga berharap semua semangat dan prinsip berhubung undang-undang antarabangsa menjadi asas kepada kita mencari penyelesaian kepada pertikaian di kawasan perairan itu.
``Saya juga menyebut mengenai perlunya usaha-usaha ke arah menterjemahkan Pengisytiharan Tatalaku Laut China Selatan (CoC) yang ditandatangani China dan ASEAN pada 2002 itu,'' tegas Najib dalam sidang akhbar di sini hari ini.
Perdana Menteri baharu sahaja selesai menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN Ke-24, yang telah mengeluarkan satu kenyataan semalam oleh menteri-menteri luar ASEAN mengenai konfrontasi terbaharu di Laut China Selatan.
Kenyataan tersebut dilihat penting berikutan konfrontasi antara China dan Vietnam pada minggu lalu selepas Beijing membawa masuk pelantar minyak ke kawasan pertikaian berdekatan Pulau Paracels, yang turut dituntut oleh Vietnam, sehingga mencetus insiden bot Vietnam dilanggar oleh kapal China.

Konfrontasi itu memuncak apabila polis maritim Filipina menahan nelayan-nelayan China yang dikatakan menceroboh perairan negara itu, sekali gus megundang bantahan keras dari China. - UTUSAN ONLINE

Friday 9 May 2014

Turunkan tekanan darah dengan Putih Telur





Kajian terbaru saintis Amerika Syarikat menyokong pandangan bahawa sejenis bahan dalam putih telur mempunyai keupayaan merendahkan tekanan darah tanpa sebarang kesan negatif.
Saintis melaporkan, sejenis bahan dalam telur putih digemari pengguna yang mengambil berat mengenai kolesterol dalam kuning telur mempunyai kesan manfaat lain dalam merendahkan tekanan darah,Lapor Science Daily.

" Kajian kami menunjukkan, mungkin ada sebab lain untuk memanggil bahan dalam telur itu sebagai luar biasa," kata Ketua kajian ,Zhipeng Yu dari Universiti Jilin.

" Kami ada bukti dari makmal bahan dalam putih telur diberi nama peptida adalah satu daripada blok binaan protein."

" Ia mengurangkan tekanan darah sebanyak mungkin seperti dos rendah Captopril,sejenis ubat tekanan darah tinggi," kata Zhipeng Yu.

Yu dan beberapa rakan dari Universiti Clemson,menggunakan sejenis peptida dipanggil RVPSL. Bahan itu tergolong sebagai sejenis ubat seperti fungsi Captopril,Vasotec dan Monopril sebagai sejenis penukar enzim angiotensin (ACE) - Agensi




MERS 999

Sistem bersepadu yang menggabungkan 5 agensi bantuan kecemasan dalam satu platform bagi mengendali dan menyalurkan panggilan serta maklumat kecemansan melalui satu nombor iaitu 999

POLIS DIRAJA MALAYSIA (PDRM)


JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT MALAYSIA (JBPM)
KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA (KKM)

JABATAN PERTAHANAN AWAM MALAYSIA (JPAM)

JABATAN PENGUATKUASAAN MARITIM MALAYSIA (APMM)

FUNGSI MERS 999
Bilakah waktu untuk menghubungi 999?
Bila bantuan diperlukan ketika kecemasan dan hanya ketika KECEMASAN!
Keadaan di mana tidak perlu menghubungi 999
Jangan hubungi 999 untuk keadaan tidak terdesak. Jika keadaan tidak merbahaya dan tindakan serta-merta tidak diperlukan; contohnya bila tiada risiko kepada nyawa dan harta benda atau jika pesalah telah beredar dan kemungkinan besar ia tidak kembali, maka itu bukan dikira sebagai kecemasan. Masa yang terbuang menjawab panggilan-panggilan seperti ini boleh digunakan untuk menjawab panggilan kecemasan yang tulen.
Bagaimana untuk menghubungi 999?
Nombor 999 boleh dihubungi daripada mana-mana talian tetap atau mudah alih.
Apa yang berlaku bila 999 dihubungi?
Operator 999 akan menjawab panggilan anda dalam masa 10 saat.
Sila bertenang.
Maklumat yang diperlukan
a) Bila operator menjawab panggilan, terangkan situasi kecemasan dengan jelas dan jawab soalan mereka. Maklumat yang diberi adalah penting untuk menentukan badan kecemasan yang perlu memberi tindak balas.
b) Sila bertenang. Apabila pemanggil berada dalam keadaan tidak tenteram, sukar untuk maklumat-maklumat penting diterima dengan jelas.
c) Tunggu di talian. Jangan letak telefon!
d) Berikan nama dan alamat. Jika tempat kejadian berbeza dengan alamat, sila pastikan operator diberitahu.
e) Dalam keadaan kecemasan perubatan, sila bersabar ketika memberikan maklumat kepada operator supaya tahap keparahan situasi dapat dikenal pasti. Pemanggil akan dinasihati tentang cara-cara mengendali pesakit ketika bantuan dalam perjalanan.


Maklumat Polio


Poliomielitis atau polio, adalah penyakit paralisis atau lumpuh yang disebabkan oleh virus. Agen pembawa penyakit ini, sebuah virus yang dinamakan poliovirus (PV), masuk ke tubuh melaluimulut, mengifeksi saluran usus. Virus ini dapat memasuki aliran darah dan mengalir ke sistem saraf pusat menyebabkan melemahnya otot dan kadang kelumpuhan (paralisis).


  1.  Tanda awal polio adalah termasuk demam,keletihan,sakit kepala,muntah,kekejangan   di leher dan sakit anggota badan.
  2.  Boleh menyebabkan lumpuh dan mengakibatkan ketidakupayaan fizikal atau  kematian.
  3. Tidak boleh diubati.
  4. Biasanya menyerang kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah.
  5. Disebar melalui air tercemar.
  6. Boleh dicegah melalui imunisasi.





Thursday 8 May 2014

Hudud

Pengertian Hudud

Kata jamak daripada perkataan Had. bermaksud mencegah atau menyekat atau   halangan.
Hukuman tertentu terhadap perbuatan jahat iaitu suatu bentuk hukuman keseksaan yang telah ditentukan oleh Allah dan ia mestilah dilaksanakan untuk menjaga hak Allah untuk  kepentingan masyarakat awam.
Menurut pengertian lain ialah hukuman yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t dalam Al-Quran serta ditetapkan oleh Nabi s.a.w melalui hadith baginda.

Salah Faham dengan HUDUD

Salah faham yang pertama ialah apabila ada menganggap bahawa persoalan Hudud merupakan persoalan yang hanya dikaitkan secara ekslusif dengan golongan ekstrimis Islam. Padahal Hudud merupakan perkara asas dalam persoalan keimanan dan tauhid kepada Allah SWT.  Hukum Hudud telah dinyatakan secara jelas di dalam Quran dan Sunnah. Setiap muslim wajib menerima kewajiban Hudud untuk dilaksanakan di kalangan masyarakat Islam.Hujjah yang mengatakan bahawa Hudud tidak lagi sesuai dengan perkembangan zaman moden adalah hujjah yang dangkal. Sekiranya Hudud ketinggalan zaman, maka begitu jugalah halnya dengan semua hukum syariat yang lain seperti hukum solat, puasa, haji, nikah kahwin, dan jual beli. Kesemua hukum-hukum ini juga dinyatakan secara jelas oleh Al-Quran dan Sunnah. Contohnya, lelaki yang adil bukan hanya perlu sebagai saksi-saksi dalam pengendalian kes-kes jenayah Hudud, tetapi juga sebagai wali nikah dan imam solat. Maka itu, andaian yang mengatakan bahawa amat sukar untuk mendapatkan saksi yang adil untuk menjadi saksi kes Hudud sebenarnya juga seolah-olah mengandaikan bahawa hukum nikah kahwin dan solat berjemaah tidak lagi perlu dipraktikkan oleh umat Islam sekarang.  Tentunya ini merupakan andaian yang liar dan tidak benar.Sekiranya Hudud mahu dilabelkan sebagai agenda golongan ekstrimis Islam, maka apakah semua orang yang bernikah kahwin mengikut syariat dan bersolat jamaah juga perlu dilabelkan sebagai ekstrimis Islam? Maka, siapa lagi sebenarnya di kalangan umat Islam yang bukan ekstrimis melainkan kesemua muslim yang baik akan digelar ekstrimis Islam belaka. Salah faham seterusnya ialah apabila kita melihat hukum Hudud dalam bentuknya yang juz'i (stand alone) yang terpisah dari sistem jenayah syariah Islam secara keseluruhan.  Islam adalah sistem yang lengkap dan saling melengkapi (kamil wa mutakamil). Setiap elemen dari ajaran Islam tidak boleh diceraikan dari keseluruhan batang tubuh Islam itu sendiri, dan begitu jugalah halnya dengan hukum Hudud. Hukum Hudud dalam bentuknya yang juz'i (stand alone) tidak akan mampu melahirkan keadilan, dan keadaan ini telah dipergunakan sepenuhnya oleh golongan penentang Hudud untuk menggambarkan bahawa Hudud adalah zalim. Mereka menilai Hudud dalam bentuknya yang terpisah dari keseluruhan sistem kehakiman dan perundangan Islam, dan sememangnya Hudud yang diambil secara juz'i ini boleh disifatkan sebagai tidak adil atau zalim.Contoh yang selalu dikemukakan adalah persoalan rogol. Dalam hukum Hudud, jenayah rogol adalah disamakan dengan jenayah zina. Tahap kesaksian dan hukumannya juga sama. Dalam Hudud juga, menuduh seseorang yang dikenali sebagai orang baik melakukan zina tanpa mendatangkan saksi yang berwibawa merupakan suatu kesalahan Qazaf yang boleh membawa hukuman sebanyak 80 rotan. Lalu diambil peruntukan-peruntukan hudud ini secara terpisah oleh penentang Hudud untuk menggambar betapa mangsa rogol akan dizalimi.Mereka mengandaikan bahawa seorang mangsa rogol perlu mendatang 4 orang saksi lelaki yang adil untuk membuat pengaduan atau menghadapi risiko kesalahan Qazaf. Ini, menurut andaian mereka, adalah menzalimi mangsa rogol dan melindungi perogol. Padahal, undang-undang yang melibatkan kes rogol perlu dirujuk kepada keseluruhan peruntukan undang-undang jenayah syariah secara lengkap (Hudud, Qisas, Takzir, Undang-undang keterangan, siasah syari'ah) dan tidak boleh dinilai dari perspektif hukum Hudud secara terhad dan terpisah.Seseorang yang mengadu dirinya dirogol, sepertimana kes-kes biasa, perlu membuat lapuran polis dan melakukan pemeriksaan doktor. Ini prosedur biasa. Polis atau pegawai penyiasat akan melakukan penyiasatan berdasarkan lapuran dan keterangan yang diberikan. Sekiranya terdapat bukti yang kukuh bahawa kes rogol sememangnya telah berlaku, pegawai penyiasat akan menyerahkan lapuran kepada pihak pendakwa. Sekiranya tahap kesaksian untuk pendakwaan dilakukan dalam hukum Hudud tidak mencukupi (tiada 4 orang saksi yang melihat kejadian tersebut), pihak pendakwa masih boleh mendakwanya di bawah undang-undang Takzir. Melalui peruntukan Takzir, beban pembuktian adalah lebih longgar dan hukumannya juga lebih ringan berbanding Hudud. Pemeriksaan doktor dan keterangan-keterangan serta bukti-bukti yang dikumpulkan oleh polis ini (DNA test, lapuran kesihatan, penilaian psychology, dll) dinamakan sebagai Qarinah. Qarinah boleh digunakan sebagai bahan bukti yang boleh mensabitkan kesalahan takzir ke atas perogol. Qarinah ini juga boleh mengelakkan mangsa rogol dari dakwaan Qazaf, kerana Qazaf merupakan kesalahan Hudud dan sebarang keraguan yang boleh ditimbulkan (melalui Qarinah) dalam kes Hudud boleh menggugurkan kes tersebut. Hukuman Hudud boleh dilakukan ke atas seseorang hanya apabila tiada sebarang keraguan langsung (beyond any shadow of doubt).  Manakala untuk kesalahan yang boleh dibuktikan secara jelas oleh Qarinah, tetapi tidak mencapai tahap kesaksian yang diperlukan oleh Hudud, hukum Takzir boleh dikenakan terhadap penjenayah tersebut.Mengaitkan Qazaf dengan kes rogol secara mutlak adalah suatu andaian yang liar dan tidak adil. Hukum Qazaf berfungsi untuk melindungi maruah seseorang individu yang baik dari sebarang tuduhan melulu yang boleh menjatuhkan maruah diri dan keluarganya. Sekiranya, seseorang itu menuduh dirinya dirogol oleh seseorang, sedangkan bukti dan keterangan (Qarinah) yang dibawa menunjukkan sebaliknya, barulah ia boleh didakwa di bawah Qazaf. Contohnya, Minah menuduh Ali merogolnya sehingga mengandung, tetapi ujian DNA menunjukkan bahawa anak tersebut bukanlah dari benih Ali, maka Minah akan menghadapi risiko dakwaan Qazaf melainkan ada 4 orang saksi yang berwibawa yang melihat kejadian rogol tersebut, ataupun dapat dibuktikan secara Qarinah bahawa dia dirogol oleh ramai orang dan Ali adalah salah seorang daripada mereka. Tetapi, sekiranya ujian DNA mengesahkan bahawa anak tersebut memang jelas dari benih Ali, maka Ali boleh didakwa di bawah peruntukan Takzir, manakala Minah tidak akan dihukum di bawah Qazaf.  Dalam kes ini, Ali tidak didakwa di bawah Hudud kerana tahap kesaksian tidak menepati kehendak hukum Hudud, sebaliknya beliau akan dihukum di bawah undang-undang Takzir.Dalam kata lain, sekiranya perkara ini dirujuk kepada keseluruhan rang undang-undang Hudud, Qisas, Takzir, Undang-Undang Keterangan, dan ditambah dengan kefahaman terhadap konsep Siasah Syariah, maka segala keraguan dan andaian liar terhadap Hudud atau mana-mana peruntukan dalam hukum Jenayah Syariah tidak sepatutnya berlaku. Ibarat kata Tun Salleh Abbas, bekas Ketua Hakim Negara, yang juga salah seorang ahli panel Jawatankuasa Penyediaan Rang Undang-Undang Hudud dan Qisas, " Sekiranya undang-undang ini dilaksanakan dengan mendapatkan kerjasama semua pihak, kebanyakan masalah yang melibatkan sistem Perundangan dan Kehakiman negara dapat diselesaikan, di samping mencapai matlamat mengurangkan kadar jenayah dan kerosakan akhlak."Kesilapan melihat peruntukan hukum jenayah syariah dalam bentuknya yang stand alone (juz'i) ini juga berlaku kepada pengkritik hukum Qisas. Mengikut peruntukan hukum Qisas, seorang pembunuh itu wajib dibalas bunuh melainkan beliau mendapat persetujuan dari waris mangsa untuk membayar diyat (gantirugi), ataupun pengampunan terus dari waris mangsa. Andaian yang sering dibuat oleh penentang Qisas ialah bahawa seorang pembunuh yang kejam dan merbahaya akan terlepas dari hukuman sekiranya waris mangsa bersetuju mendapat bayaran ganti rugi atau mengampunkan pembunuh tersebut. Sekiranya ini berlaku, pembunuh itu boleh terus membunuh mangsa-mangsa yang lain.Sekiranya kita membaca peruntukan tersebut secara lengkap dan bersama dengan peruntukan-peruntukan yang lain, sebenarnya Hakim masih boleh menjatuhkan hukuman Takzir ke atas pembunuh itu, di samping hukum Qisas sekiranya pihak Mahkamah bersetuju bahawa pembunuh tersebut perlu dihukum bagi menjamin ketenteraman awam. Dalam kata lain, walaupun pembunuh tersebut mendapat pengampunan dari waris mangsa dari dijatuhkan hukuman bunuh balas (Qisas), beliau masih boleh dihukum penjara atau hukuman-hukuman lain yang setimpal dengan kesalahannya. Jadi, tidak timbul persoalan samada seseorang penjenayah itu dengan mudah boleh melepaskan diri dengan memberi rasuah kepada waris mangsa.Seperkara lagi yang sering diabaikan dalam perbahasan berkenaan Hudud ialah peri pentingnya kefahaman terhadap Siasah Syar'iah di dalam perlaksanaan Undang-Undang Jenayah Syariah.  Kebanyakan mereka yang menentang Undang-Undang Hudud dan Qisas adalah terdiri dari kalangan mereka yang mempunyai kefahaman yang sangat terhad terhadap Siasah Syari'ah. Siasah Syar'iah amat penting bagi menghadapi kes-kes yang rumit dan spesifik.  Para Hakim dan Peguam Syari'ah adalah mereka yang terlatih di dalam ilmu Siasah Syari'ah. Ini penting agar keadilan sistem perundangan Islam dapat dilaksanakan. Umpamanya penentang Hudud mempersoalkan tentang keperluan saksi lelaki di dalam kes-kes Hudud, dan bagaimana sekiranya kejadian rogol dilakukan di asrama wanita. Kes seperti ini boleh dirujuk kembali kepada perbicaraan terhadap pembunuhan Osman bin Affan, salah seorang Khalifah Islam. Saksi kepada pembunuhan tersebut ialah isteri Osman sendiri, dan tiada saksi lelaki. Hakim, menggunakan kaedah Siasah Syari'ah bagi membenarkan kesaksian dari kaum wanita kerana kes-kes tersebut memerlukan kesaksian mereka. Oleh kerana kesaksian beliau cukup kukuh dan tidak dapat dicabar di mahkamah, maka kesaksian tersebut diterima di dalam perbicaraan itu.Begitulah juga dengan peristiwa yang berlaku di zaman pemerintahan Islam di mana terdapat seorang gadis yang mengandung lalu dibawa ke muka pengadilan. Gadis itu mempertahankan dirinya menyatakan bahawa beliau tidak tahu sesiapa yang merogolnya, tetapi menyebut bahawa beliau adalah seorang yang terlalu kuat tidur sehingga tidak sedar jika diperlakukan sesuatu yang tidak baik ke atasnya.  Memandangkan kes ini jarang berlaku, hakim telah membenarkan tertuduh mengemukakan beberapa saksi yang boleh mengesahkan dakwaannya bahawa beliau adalah seorang yang terlalu kuat tidur.  Setelah hakim berpuas hati dengan kesaksian bahawa gadis tersebut memang dikenali sebagai seorang wanita yang taat beragama serta berakhlak baik, dan kesaksian bahawa beliau memang seorang yang terlalu kuat tidur sehingga tidak sedar diperlakukan sesuatu ke atasnya ketika sedang tidur, maka hakim telah menggugurkan kes tersebut kerana terdapat keraguan yang munasabah bahawa gadis tersebut telah berzina secara sukarela.Bagi mereka yang memahami persoalan Siasah Syar'iah secara mendalam, Hukum Hudud merupakan suatu sistem perundangan yang adil dan dinamik yang mampu menangani persoalan semasa selari dengan kemajuan saintifik dan perkembangan sosio-ekonomi masyarakat.  Sebenarnya, terlalu banyak kes-kes penghakiman di dalam sistem perundangan Islam yang mempu membuktikan bahawa sistem ini merupakan sistem yang adil dan dinamik, di samping menepati kehendak syara' seperti yang telah digariskan oleh Al-Quran dan Sunnah.Umpamanya, kes rogol mungkin tidak berlaku paksaan secara fizikal semata-mata. Ia juga boleh berlaku melalui tipu muslihat lain seperti kaedah tekanan mental, perasaan, dan lain-lain. Seorang mangsa rogol umpamanya mungkin terpaksa menyerahkan dirinya kepada seseorang yang dianggap lebih berkuasa dan berpengaruh serta boleh menjejaskan kehidupan keluarganya dalam pelbagai sudut. Pembuktian kes-kes seperti tentunya lebih rumit dan memerlukan pendekatan Siasah Syari'ah yang lebih mendalam. Bagaimanapun, tentulah dangkal dan tidak benar untuk mengatakan bahawa  hukum Islam telah ketinggalan zaman sedangkan ianya telah terbukti mampu menjadi tunggak kehakiman ummah selama lebih seribu tahun sejak terdirinya kerajaan Islam di Madinah sehinggalah kepada kejatuhan Khalifah Othmaniah pada tahun 1924.      Apa yang menjadi masalah ialah ramai umat Islam hari ini yang sudah terpisah dengan pengamalan syariat Islam sehingga merasa cukup asing dan melihat hukum syariah dengan penuh prejudis dan kecurigaan, sedangkan mereka tidak mempunyai kefahaman yang mendalam berkenaan ilmu tersebut. Apatah lagi apabila masyarakat bukan Islam yang juga cuba menilai hukum ini dengan keilmuan sifar, secara tidak beradab mencela dan menghina hukum Islam. Wallahua'lam.