Dibolehkan solat dalam kenderaan samada kereta, teksi, bas ekspres, perahu, kapal selam, kapal terbang dan apa jua medium pengangkutan. Dalil yang membolehkan ialah hadith berikut daripada Abdullah ibnu Umar radiallahu-anhu di mana telah bertanya seorang sahabat kepada Nabi sallallahu-alaihi-wasallam:Bagaimanakah cara saya bersolat dalam perahu ? Nabi sallallahu-alaihi-wasallam menjawab: Bersolatlah di dalamnya dengan berdiri kecuali jika engkau takut tenggelam. Hadith di atas adalah sebagai dalil bolehnya bersolat di atas kenderaan tidak kira apa jenis kenderaan itu kerana pelajaran hadith (illat)bukanlah berkenaan hukum perahu tetapi ialah kebolehan perlaksanaan solat di atas kenderaan.
Jikalau
solat secara berdiri di atas kenderaan adalah berbahaya atau menyukarkan maka
boleh bersolat secara duduk, diteladani dari perbuatan Nabi
sallallahu-alaihi-wasallam dan para sahabat yang pernah bersolat secara duduk
di atas kenderaan tunggangan mereka. Kesukaran yang dihadapi itu tidaklah
sampai ke tahap darurat tetapi adalah memadai dengan sesuatu yang memberatkan.
Hadith berikut menerangkan Nabi sallallahu-alaihi-wasallam dan sahabatnya
pernah solat di atas tunggangan mereka bagi mengelak dari terperangkap dalam
cuaca hujan lebat - Ya'la bin Murrah radiallahu-anhu menerangkan
bahawa para sahabat pernah beserta Rasulullah sallallahu-alaihi-wasallam dalam
satu perjalanan lalu sampai ke satu lembah sedang beliau berada di atas
kenderaannya; dan langit pula sangat mendung dan di bawahnya sangat basah.
Kemudian datang waktu solat lalu beliau memanggil tukang
muadzzinnya lalu ia azan dan iqamah lantas Rasulullah
sallallahu-alaihi-wasallam terus maju dengan kenderaannya dan solat berjamaah
bersama mereka (para sahabat). Beliau memberi isyarat yang sujudnya lebih rendh
dari rukuknya.
Dua
hadith di atas jelas membolehkan solat-solat fardhu dilaksanakan di atas
kenderaan dan jikalau seseorang itu menghadapi suasana kesukaran maka boleh
dilaksanakan secara duduk. Demikianlah teladan yang diriwayatkan dari para
sahabat seperti Anas bin Malik, Jabir, Tawus, Zaid dan lain-lain,
radiallahu-anhum.[13] Solat
sebegini adalah tetap sah jikalau kesukarannya itu adalah benar-benar ikhlas
dan ia tidak perlu diulangi. Akan tetapi jikalau tidak menghadapi kesukaran dan
dia bersolat secara duduk di atas kenderaan maka solatnya itu adalah tidak sah
kerana dianggap sengaja mengabai serta meremehkan rukun kewajipan solat.
Demikian menurut ijma' para fuqaha Mazhab Shafie, Maliki, Hanbali dan
lain-lain.
Imam
an-Nawawi mensyarahkan: Menurut pendapat mazhab kami (Mazhab Shafie),
apabila seseorang bersolat fardhu di dalam kapal maka tidak boleh baginya
mengerjakan solat dengan duduk selama sanggup berdiri. Diserupakan orang itu
dengan keadaan di darat. Demikianlah juga pendapat Imam Malik dan Imam Ahmad
bin Hanbal. Menurut pendapat Imam Abu Hanifah, boleh dikerjakan dengan duduk
kalau kapal itu sedang bergerak.
Menurut pendapat ulama'-ulama' Mazhab Shafie jika orang yang
sedang solat itu sedang kepeningan (mabuk laut) umpamanya maka bolehlah dia
mengerjakan solat fardhunya sambil duduk kerana dia di pandang sebagai tidak
upaya berdiri. Dan jika angin bertiup dan beralih haluan kapal lalu beralih
juga mukanya dari arah qiblat wajiblah dia memutarkan badannya ke arah qiblat itu
dan terus mengerjakan solat.
Kaedah
menunaikan solat fardhu di atas pesawat terbang adalah sama dengan kaedah solat
di darat. Hanya apabila timbul kesukaran maka kesempurnaan gerak laku solat itu
berkurangan selari dengan kadar kesukaran yang dihadapi. Ia mempunyai kesamaan
dengan kaedah solat orang yang sakit dalam beberapa keadaan dan berbeza pula
dalam beberapa keadaan lain, iaitu:
1. Hendaklah berusaha sekuat mampu bagi mencari tempat untuk bersolat
dengan sempurna. Bertanyalah kepada anak kapal akan ruang sebaiknya untuk
bersolat dan jikalau ruang itu digunakan oleh mereka dalam kesibukan
kerja-kerja kabin maka tunggulah hingga kerja mereka berkurang atau selesai.
Satu alternatif lain ialah memilih penerbangan dengan syarikat Muslim kerana
anak-anak kapalnya akan lebih memahami kehendak kita dan berusaha menolong
berbanding dengan syarikat penerbangan non muslim.
2. Jikalau sedang solat dan pesawat bergoyang sedikit maka dibolehkan
berpegang atau bersandar sebentar kepada dinding atau kerusi bagi mengimbangkan
diri, mengingatkan kepada sunnah Nabi sallallahu-alaihi-wasallam yang solat
dengan bersandarkan tiang di kala umurnya sudah lanjut.
3. Jikalau pesawat banyak bergoyang sehingga membimbangkan maka
dibolehkan solat duduk dengan rukuk secara membongkok dan sujudnya seperti
biasa hingga ke lantai pesawat. Jikalau sedang bersolat secara berdiri dan
dipertengahannya pesawat mula bergoyang maka teruslah solat dengan duduk
sehingga habis tanpa perlu dimulakan semula.
4. Jikalau goyangan pesawat adalah keterlaluan hingga terbitnya tanda 'Pasang
tali pinggang keselamatan' atau 'Fasten seat belt' maka
sebaiknya ialah duduk dahulu dan bersolatlah kemudian apabila suasana kembali
tenang. Memaksa diri beribadat sehingga mendatangkan kecederaan bukanlah
sesuatu yang dicenderungi agama malah akan dipertangunggkan jikalau
kecederaannya itu menyebabkan dia tidak dapat meneruskan ibadah yang lain,
meninggalkan amanah tanggungan dan menyusahkan pula orang lain. Jikalau
goyangan pesawat berlanjutan sehingga dijangka akan melewati waktu solat
(contohnya solat subuh) maka laksanakanlah ia secara duduk di kerusi sendiri.
5. Jikalau tiada tempat untuk solat maka tetaplah bersolat ditempat
duduk sendiri dan solatlah dengan sujudnya ditunduk lebih rendah dari rukuk.
Perintah menghadap qiblat tetap hadir sebagaimana yang diterangkan sebelum ini.
Jikalau
terdapat dua pilihan, satunya ialah boleh menghadap ke arah qiblat tetapi
solatnya harus secara duduk manakala yang kedua ialah boleh solat secara
sempurna tetapi tidak dapat menghadap qiblat melainkan di takbir yang pertama
maka hendaklah dia mengutamakan solat menghadap qiblat sekalipun secara duduk
kerana solat secara duduk sememangnya dibolehkan oleh nas yang jelas di kala
kesukaran manakala solat tanpa menghadap qiblat dengan sempurna adalah satu
kebolehan yang diijtihadkan. Sila ulangkaji dan bandingkan huraian antara bab
ini dengan bab sebelum.
Jikalau
terdapat dua pilihan di mana kedua-duanya boleh didirikan solat secara
sempurna, pilihan pertama ialah solat di atas pesawat manakala pilihan kedua
ialah solat di atas darat maka kedua-duanya mempunyai keutamaan yang sama
tarafnya. Dalilnya ialah riwayat berikut: Abdullah bin Abi Utbah
radiallahu-anhu menerangkan - Aku pernah menyertai Jabir bin Abdillah, Abu Said
al-Khudri dan Abu Hurairah radiallahu-anhu dalam satu kapal. Maka mereka
bersolat secara berdiri berjamaah, yang seorang mengimami yang lain padahal
mereka sanggup mendarat di pantai.Akan
tetapi hendaklah diutamakan suasana yang memungkinkan solat itu didirikan di
awal waktu mengingatkan keafdalannya dan tambahan lagi mungkin sahaja solat
yang tangguhkan itu akan terhalang oleh sesuatu yang tidak dijangka.
Sekali
lagi dinyatakan bahawa seseorang itu wajib berlaku benar dalam kaedah penunaian
solatnya samada berdiri atau duduk, samada di ruang terbuka atau di kerusi
asal. Tidak sah solat orang yang sengaja hendak solat secara duduk atau sengaja
enggan mencari suasana yang memungkinkan solatnya menjadi sempurna. Jikalau
semua alternatif dan usaha telah dilakukan maka hendaklah dia tetap
melaksanakan solatnya itu dalam cara yang termampu dan ia tetap dikira sah
tanpa perlu diulangi atau diqadha.
Kesimpulan
1. Solat di atas pesawat terbang atau apa-apa jua medium pengangkutan
adalah dibolehkan.
2. Perlaksanaan solat di atas pesawat adalah tetap wajib seperti
kaedah yang biasa kecuali jikalau menghadapi kesukaran maka dibolehkan duduk
dan sebagainya selari dengan kadar kesukaran yang dihadapi.
3. Solat sebegini adalah sah dan tidak perlu diulangi.
4. Sementara itu tidak sah solat secara duduk jikalau tiada kesulitan
untuk melaksanakannya secara berdiri. Malah dia dikira berdosa kerana sengaja
meremehkan perintah agama.
No comments:
Post a Comment