NAY PYI TAW 11 Mei - Malaysia berharap negara-negara yang terlibat
dalam konfrontasi terbaharu di Laut China Selatan, khususnya China, Vietnam dan
Filipina, akan mengambil sikap mengurangkan ketegangan dan mewujudkan suasana
yang kondusif.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memberitahu, isu Laut
China Selatan telah dibincang dengan panjang lebar oleh semua 10 negara anggota
Persatuan Negara Asia Tenggara (ASEAN) pada Sidang Kemuncak ASEAN Ke-24 yang
berakhir hari ini.
Katanya, Malaysia telah menegaskan betapa pentingnya semua pihak
mengurangkan ketegangan dalam mencari satu cara penyelesaian melalui kaedah
rundingan dan mewujudkan suasana yang lebih kondusif.
``Di samping itu, Malaysia juga berharap semua semangat dan
prinsip berhubung undang-undang antarabangsa menjadi asas kepada kita mencari
penyelesaian kepada pertikaian di kawasan perairan itu.
``Saya juga menyebut mengenai perlunya usaha-usaha ke arah
menterjemahkan Pengisytiharan Tatalaku Laut China Selatan (CoC) yang
ditandatangani China dan ASEAN pada 2002 itu,'' tegas Najib dalam sidang akhbar
di sini hari ini.
Perdana Menteri baharu sahaja selesai menghadiri Sidang Kemuncak
ASEAN Ke-24, yang telah mengeluarkan satu kenyataan semalam oleh
menteri-menteri luar ASEAN mengenai konfrontasi terbaharu di Laut China
Selatan.
Kenyataan tersebut dilihat penting berikutan konfrontasi antara
China dan Vietnam pada minggu lalu selepas Beijing membawa masuk pelantar
minyak ke kawasan pertikaian berdekatan Pulau Paracels, yang turut dituntut
oleh Vietnam, sehingga mencetus insiden bot Vietnam dilanggar oleh kapal China.
Konfrontasi itu memuncak apabila polis maritim Filipina menahan
nelayan-nelayan China yang dikatakan menceroboh perairan negara itu, sekali gus
megundang bantahan keras dari China. - UTUSAN ONLINE
No comments:
Post a Comment