Cuti umum sempena Hari Pekerja yang disambut oleh pekerja-pekerja
tempatan pada 1 Mei 2014 merupakan kali yang ke-41 dalam sejarah negara ini
apabila bekas Timbalan Perdana Menteri, Allahyarham Tun Dr. Ismail Abdul Rahman
mengumumkan tanggal 1 Mei sebagai hari kelepasan am bagi pekerja Malaysia pada
tahun 1972.
Pengumuman itu dibuat dalam ucapannya ketika merasmikan Seminar
Kesatuan Sekerja Biro Buruh dan Kesatuan Sekerja UMNO yang diadakan di Dewan
Belia, Kampung Pandan pada 20 Mei 1972.
Dalam penjelasannya, Allahyarham menyatakan bahawa keputusan itu
telah dibuat dengan harapan pergerakan buruh akan menganggap 1 Mei sebagai satu
hari dedikasi sesuai dengan cita-cita kebangsaan dan berharap gerakan pekerja
akan didorong oleh tujuan dan rasa terikat kepada cita-cita kebangsaan
tersebut.
``Pengumuman itu disusuli dengan tepukan gemuruh para hadirin
seminar kerana ia merupakan kejayaan yang berharga kepada pekerja,'' kata bekas
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam
(Cuepacs), Jamaluddin Mohd. Isa dalam pertemuan dengan Utusan Malaysia
baru-baru ini.
Mengulas lanjut pengalaman beliau ketika saat-saat kejayaan
memperoleh cuti umum itu, Jamaluddin, salah seorang anggota biro berkenaan,
menjelaskan: ``Pengumuman itu signifikan kerana Malaysia secara tidak langsung
mengiktiraf Hari Pekerja yang diluluskan oleh Konvensyen Pertubuhan Buruh
Antarabangsa (ILO).''
Jamaluddin, kini Setiausaha Kerja Kesatuan Pegawai-Pegawai Hutan
Melayu Malaysia Barat, menambah: ``Saya rasa sungguh bertuah kerana berpeluang
memainkan peranan dalam merealisasikan tuntutan meskipun ia sebenarnya telah
diperjuangkan oleh Cuepacs dan MTUC (Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia).''
Langkah itu sekali gus meninggikan martabat dan kedudukan negara
di peringkat antarabangsa, ujarnya.
Mengimbas kembali peristiwa bersejarah hampir tiga dekad yang
lalu, bekas Pengarah Pendidikan MTUC, S. Radhakrishnan pula berkata, pendekatan
yang diambil oleh kerajaan ketika itu telah menyumbang kepada situasi perundingan
bukan konfrontasi.
``Sejak itu hubungan antara kerajaan dan kesatuan sekerja
bertambah baik, suasana yang sangat positif di mana wujud keadaan boleh
menyatakan pendirian tidak setuju dalam erti kata yang boleh dipersetujui,
bukan konfrontasi,'' kata beliau yang juga bekas Presiden Majlis Tindakan
Sosial Pendidik Malaysia, yang dipinjamkan sebagai Pengarah Pendidikan MTUC
selama dua tahun mulai 1974 oleh kerajaan.
Hasil hubungan baik itu, kata beliau, kerajaan juga telah
meluluskan cadangan MTUC untuk menubuhkan Bank Buruh pada tahun 1975.
``Projek ini membolehkan MTUC menerokai bidang-bidang baru,''
jelasnya. Bekas guru itu yang kini merupakan perunding firma guaman di Kuala
Lumpur menambah, 1 Mei sebenarnya dianjurkan untuk melihat paras pencapaian semasa
dan langkah-langkah yang perlu dilakukan demi memperbaiki kedudukan masa akan
datang.
``Selain itu, 1 Mei bertujuan memberi pengiktirafan ke atas
perjuangan lalu dalam pembangunan negara dan sumbangan para pekerja,'' katanya.
Sebenarnya kesatuan-kesatuan pekerja negara ini menyambut Hari
Pekerja sebelum kerajaan mengisytiharkan cuti umum.
Usaha itu disusuli dengan tindakan V. David (ketika itu anggota
Dewan Perwakilan dan Setiausaha Agung Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja
Kilang dan Am) membawa usul menuntut cuti seumpama itu pada 24 Februari 1960.
Dalam buku yang dikeluarkan sempena Hari Pekerja 1973, Kesatuan
Pekerja-Pekerja Pengangkutan Malaysia menyifatkan tahun 1972 sebagai sinar
harapan bagi kelas pekerja kerana perubahan pada pendirian kerajaan.
Sambutan Hari Pekerja tidak disambut pada hari yang sama oleh
setiap negara yang mengiktiraf Konvensyen ILO yang berkaitan. Pada tahun 1884,
Persekutuan Kesatuan Buruh dan Pekerja Berkesatuan meluluskan resolusi yang
menggariskan kerja lapan jam sehari yang sah mulai 1 Mei 1886. Resolusi itu
juga menggesa diadakan mogok umum untuk mencapai matlamat memandangkan
pendekatan perundangan menemui kegagalan. Kira-kira 250,000 pekerja berhimpun
pada gerakan Hari Mei. Bagaimanapun rekod juga menunjukkan Hari Pekerja telah
mula disambut pada September 1882 di Amerika Syarikat.
``Oleh itu, tidak semua negara menyambut Hari Pekerja pada 1 Mei.
Pada peringkat permulaan, negara-negara fahaman komunis menyambut hari
keistimewaan ini pada 1 Mei, manakala yang bukan komunis pada hari-hari yang
lain,'' kata Setiausaha Kerja Kesatuan Pekerja-Pekerja Lembaga Getah Malaysia,
A.J. Patrick.
Austria, Argentina, Belgium, Jerman, Norway (Hari Mei, 1 Mei),
Filipina, Singapura, Afrika Selatan, Sepanyol, Sweden, Thailand, Perancis, Hong
Kong, Vietnam, Korea Selatan dan Itali menyambut Hari Pekerja pada 1 Mei,
Kanada dan Amerika Syarikat (2 September), Jepun mengenalinya sebagai Hari
Terima Kasih Pekerja (23 November), New Zealand (28 Oktober), Britain (6 Mei).
Bekas pemimpin MTUC itu menambah: ``Hari Pekerja pada peringkat
awal disambut sebagai hari patriot untuk perjuangan kebajikan pekerja-pekerja.
``Tetapi, hari ini ia dilihat sebagai satu hari yang berlainan.''
Di peringkat awal kesatuan-kesatuan mengadakan mengikut kemampuan
masing-masing, termasuk menganjurkan rapat-rapat umum dengan dihadiri antara
3,000 hingga 4,000 orang.
``Kini kemudahan bertambah baik, banyak kemudahan pengangkutan
diadakan. Sambutan anjuran kerajaan pula menyediakan anugerah dan hadiah
pengiktirafan kesatuan dan pekerja terbaik.
No comments:
Post a Comment